Azwanddin Hamzah

KUALA LUMPUR –  Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) hari ini menyerahkan dokumen sokongan kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan kemasukan wang hampir RM3 juta ke dalam akaun syarikat Inside Media Sdn Bhd pemilik portal berita, The Malaysian Insight (TMI).

Presiden JMM, Datuk Azwanddin Hamzah berkata, dokumen 40 helaian itu termasuk transaksi kewangan tunai yang didakwa konsisten ke dalam akaun syarikat serta maklumat seorang ahli lembaga pengarahnya.

“Saya dipanggil oleh Bukit Aman untuk membantu siasatan berhubung syarikat TMI, saya telah serahkan dokumen sokongan berhubung dakwaan tersebut

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah (dua kanan) menunjukkan dokumen kepada media selepas memberi keterangan bagi membantu siasatan dan menyerahkan dokumen tambahan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan portal The Malaysian Insight di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 FEBRUARI 2018

.“Pihak polis juga begitu efisyen dalam menjalankan tugas, saya diberitahu pihak berkuasa juga berjanji akan menyelesaikan perkara ini dalam masa terdekat selepas selesai siasatan.

“Saya juga gembira kerana fail berhubung kes ini juga telah di buka ketika ini. Saya telah beri keterangan selama hampir dua jam hari ini dan semuanya telah berjalan dengan baik sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberi keterangan kepada Bukit Aman selepas dipanggil di sini hari ini.

Isu mengenai TMI timbul apabila perwakilan UMNO Pulau Pinang, Mohd Nashrol Hisham, membangkitkannya ketika membahaskan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung UMNO, tahun lalu.

JMM pada 14 Disember lalu mendakwa ada keraguan dalam pengurusan dan pembiayaan TMI.

Perwakilan itu turut meminta pihak berkuasa menyiasat kedudukan salah seorang pengarah TMI, Puan Sri Faridah Begum K A Abdul Kader, yang juga kakak Jahabar dan isteri Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Berikutan itu, Azwanddin membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu.

Malah portal itu juga didakwa turut mengkritik laporan Suruhanjaya Siasatan Kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar tahun 1990-an. – MalaysiaGazette