KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah memulakan siasatan terhadap video klip penyanyi kontroversi, Wee Meng Chee atau Namewee yang dikatakan mengandungi aksi lucah tarian sekumpulan penyanyi berdekatan di Masjid Putra, Putrajaya.

Dalam satu kenyataan SKMM memaklumkan, pihaknya telah menerima aduan berhubung perkara itu dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan kemudahan internet.

“Perbuatan itu telah menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat dan mereka yang bertanggungjawab akan dikenakan tindakan sewajarnya kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM98),” kata kenyataan itu.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid hamidi menegaskan penyanyi rap kontroversi itu tidak mungkin terlepas daripada dikenakan tindakan ekoran perbuatannya yang dianggap telah menimbulkan provokasi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, meskipun pemuda itu sering kali terlepas dan malarikan diri setiap kali melakukan kontroversi namun dia tidak mungkin akan terlepas pada masa akan datang. – MalaysiaGazette

Namawee tak mungkin terlepas daripada tindakan