Sebuah helikopter penyelamat mencari bangkai pesawat ATR-72 milik Aseman Airlines yang terhemoas di kawasan pergunungan di Iran.

LONDON – Iran menemui bangkai sebuah pesawat dengan 65 penumpang yang terhempas, kata seorang jurucakap tentera hari ini, dua hari selepas ia hilang daripada skrin radar di kawasan pergunungan.

Pasawat Aseman Airlines yabg berlepas dari Tehran hilang pada Ahad lalu, selepas 50 minit dalam penerbangan ke bandar Yasuj di barat daya negara itu. Jurucakap itu berkata, pesawat berkenaan terhempas di sebuah gunung. Tiada seorang penumpang dijangka selamat.

Suhu sejuk dan keadaan bergunung-ganang menyukarkan usaha mencari dan menyelamat, menambahkan lagi kesedihan dan kemarahan ahli keluarga mangsa dan masyarakat yang menyalahkan pesawat usang masih digunakan akibat sekatan selama berdekad-dekad, lapor Reuters.

Pesawat kipas, ATR-72 itu berusia 24 tahun. Menurut data yang dipetik daripada Flight Safety Foundation menerusi laman sesawang aviation-safety.net, pesawat itu baharu sahaja memulakan operasi tiga bulan lalu selepas tidak digunakan selama enam tahun.

Pesawat itu ditemui oleh drone milik tentera, kata jurucakap Pengawal Revolusi, Ramezan Sharif.

“Dua buah helikopter telah dihantar ke lokasi di mana drone berada dan menemui pesawat.

“Pesawat tersebut melanggar puncak gunung sebelum terhempas 30 kaki ke bawah,”kata rangkaian televisyen milik kerajaan.

Setelah menunggu lama untuk menemui pesawat itu, ahli keluarga mangsa perlu menunggu lagi sehingga mayat-mayat dibawa keluar berikutan helikopter tidak boleh mendarat di kawasan curam dan usaha untuk sampai ke lokasi perlu dilakukan dengan berjalan kaki, kata pegawai kecemasan.

Lebih 100 orang melakukan demonstrasi di luar pejabat kerajaan di daerah Dena Kooh semalam, meminta pegawai-pegawai yang mengendalikan insiden tersebut meletak jawatan selepas pengumuman bangkai pesawat ditemui dilakukan dan kemudian menafikan penemuan tersebut. – Reuters