Tuesday, November 5, 2024
Home Sukan FAS tiada niat aniaya pemain dalam kes bookie

FAS tiada niat aniaya pemain dalam kes bookie

Presiden FAS, Datuk Posa Majais.

KUALA LUMPUR  – Dakwaan sesetengah pihak Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) cuba menggunakan isu mengatur perlawanan baru-baru ini sebagai alasan atau jalan keluar untuk menutup kegagalan pasukan pengurusan tiada asas sama sekali.

Presidennya, Datuk Posa Majais berkata, dakwaan FAS menganiaya pemain dengan menggunakan isu berkenaan juga tidak tepat memandangkan mereka tidak pernah menamakan mana-mana pemain.

Beliau menegaskan, seperti dalam kenyataan rasmi pada 11 Februari lalu, FAS menyatakan hanya menyiasat berdasarkan beberapa dakwaan diterima.

“Sekiranya ada mak­lumat sahih yang diperoleh, FAS tidak akan berdiam diri dan sembunyikannya selagi saya bertanggungjawab selaku presiden.

“Kalau perlu saya bergerak berseorangan, saya akan terus memperjuangkannya. Saya bukan di sini untuk (meraih) populariti, sebaliknya saya bersedia menjadi tidak popular,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Mahkamah Majistret Petra Jaya membebaskan dua pemain pasukan bola sepak Sarawak selepas direman enam hari kerana disyaki terbabit dalam aktiviti mengatur perlawanan.

Majistret Sandy Yvette Freddy membuat keputusan itu selepas Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dzulkarnain Rousan Hasbi memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya tidak menemui bukti kukuh untuk mendakwa dua pemain terbabit bersama seorang lelaki yang disyaki bookie.

Dzulkarnain berkata, pasukan penyiasat SPRM sudah menjalankan siasatan rapi sepanjang dua pemain dan individu terbabit direman sejak Jumaat lalu.

Sementara itu, Posa menambah, beliau faham sekiranya tindakan FAS menyebabkan beberapa pihak tidak berpuas hati.

“Bagaimanapun, jika ada yang menuntut (FAS) memohon maaf dan meletak jawatan, agak sukar untuk berbuat demikian kerana saya hanya menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan.

“Isu ini pasti tidak akan merencatkan usaha saya sebab apa yang dilakukan tiada kepentingan peribadi sebaliknya bola sepak kita pasti akan menjadi mangsa sekiranya ambil jalan mudah dengan melupakannya,” tegasnya.

Katanya, beliau bertanggungjawab memastikan bola sepak di negeri ini bukan sahaja berkembang maju bahkan terpelihara dan bersih dari segala bentuk ancaman.

“FAS berpegang kepada prinsip zero tolerance kepada isu rasuah, tidak akan sekali-kali membenarkan gejala kurang sihat seperti mengatur perlawanan bertapak dalam bola sepak di negeri ini.

“Saya akan bertemu dengan kedua-kedua pemain yang dibebaskan daripada reman dalam tempoh terdekat dan reda sekiranya tidak mendapat sokongan, tetapi fahamlah segala tindakan semuanya untuk bola sepak Sarawak,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast