Idris Jusoh

LONDON –  Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) secara dasarnya telah memberi pertimbangan khas bagi para pelajar program Ijazah Kedoktoran (PhD) untuk menerima biasiswa kementerian itu sehingga mereka menamatkan pengajian masing-masing.

Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata bagaimanapun pertimbangan kementerian adalah mengikut kes dan para pelajar terlibat perlu membuat permohonan lanjutan biasiswa dan tempoh pengajian mereka sebelum akhir bulan ini.

Katanya, setakat ini KPT telah menerima 269 permohonan dan daripada jumlah itu 65 pelajar mendapat kelulusan untuk menerima biasiswa dengan pelanjutan tempoh pengajian masing-masing.

Beliau berkata, antara kes-kes yang diberi pertimbangan itu adalah kerana keperluan kursus tambahan, masalah teknikal seperti pertukaran penyelia dan juga masalah syarat tempoh pengajian.

“Kita membuat pertimbangan mengikut kes seperti terdapat kes yang menghendaki pelajar menamatkan pengajian dalam tempoh empat tahun sedangkan tawaran biasiswa adalah selama tiga tahun. Oleh itu, kita bersetuju menyelesaikan masalah pelajar supaya mereka dapat menyiapkan PhD dengan baik dan balik ke Malaysia dengan tenang,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini malam tadi.

Terdahulu, Idris menemui lebih 100 pelajar Malaysia di United Kingdom (UK) di Malaysia Hall di sini bagi menyampaikan surat kebenaran pelanjutan tempoh pengajian dan biasiswa kepada 34 pelajar.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK Datuk Ahmad Rasidi Hazizi dan para pegawai kanan kedutaan.

Idris berkata, pemberian biasiswa ekoran pelanjutan tempoh pengajian itu melibatkan semua pelajar PhD termasuk di dalam dan luar negara.

“Kita akan selesaikan masalah pelajar yang membuat permohonan itu dalam tempoh dua bulan sahaja supaya mereka boleh belajar dan menyiapkan PhD masing-masing dengan tenang,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar PhD Malaysia di Oxford University, Hasmila Akmar Omar ketika ditemui berkata beliau amat berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi pertimbangan khas kepada pelajar yang menghadapi masalah pelanjutan tempoh pengajian.

Katanya, kebanyakan pelajar menghadapi masalah untuk menyambung pengajian di tahun keempat apabila KPT hanya memberi biasiswa selama tiga tahun sedangkan tempoh pengajian mereka adalah empat tahun.

“Masalah ini timbul sejak tahun 2016 apabila kementerian mengeluarkan arahan mengenai pemberian biasiswa adalah selama tiga tahun sahaja walaupun syarat sebelum itu ialah tiga tahun campur enam (bulan) campur enam (bulan),” katanya.

Hasmila yang sedang mengikuti program PhD dalam bidang Kejuruteraan Bioperubatan berkata dengan kelonggaran itu, beliau dapat menyambung pengajiannya yang akan berakhir dalam beberapa bulan lagi.

Terdapat juga kes di mana pelajar terpaksa berhenti belajar ekoran masalah kewangan setelah tempoh pemberian biasiswa dihentikan pada tahun keempat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast