Barisan pensyarah Mediu bersama Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Emeritus Dr. Ismawi Zen.

SHAH ALAM – Universiti Antarabangsa Al-Madinah (Mediu) di sini akan berpindah ke kampus utama di Desa Petaling, Kuala Lumpur pada April depan dalam usaha mengembangkan operasinya pada masa akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Mediu, Prof. Emeritus Dr. Ismawi Zen berkata, kampus tersebut akan memiliki 10 blok bangunan melibatkan kos pengubahsuaian mencecah RM6.5 juta.

Jelas beliau, kesemua bangunan itu akan disewa secara kontrak selama tiga tahun dengan pilihan tambahan kontrak juga tiga tahun lagi.

“Kami perlu berpindah kerana kampus sekarang di Plaza Masalam di sini berdepan dengan kekangan ruang yang sempit untuk mengambil pelajar yang ramai.

“Justeru kami percaya kampus utama ini bakal menyediakan kemudahan yang pelbagai dan selesa kepada pelajar kelak.

“Setiap blok memiliki tiga tingkat dan ia akan menempatkan bangunan pentadbiran, pusat pelajar, fakulti sendiri, dewan periksaan, medan selera dan surau,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Prof. Emeritus Dr. Ismawi Zen.

Ismawi menambah, Mediu akan memiliki kampus utama tetap pada masa datang dan lokasi yang dikenalpasti adalah di Cyberjaya.

Namun jelas beliau, impian berpindah ke kampus tetap itu akan direalisasikan hanya selepas kontrak sewaan di Desa Petaling berakhir.

Sementara itu, Mediu ditubuhkan sejak 10 tahun yang lalu sebagai sebuah universiti antarabangsa di Shah Alam.

Berperana sebagai universiti berkonsep wakaf, Mediu ketika itu dikenali universiti maya atau dalam talian sebelum memulakan pengajian dalam kampus pada 2010.

Misi Mediu adalah pendidikan berlandaskan Islam berteraskan pengajian Islam dan Bahasa Arab untuk menjadikan Bahasa Arab sebagai bahasa ilmu dan mengembalikan kepentingan itu sebagai bahasa ilmu di zaman keagongan Islam di Eropah sebelum ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast