Seorang ahli perniagaan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk mendapatkan perintah tahanan reman selepas dipercayai terlibat dalam skandal rasuah berjumlah RM3 juta bagi menutup siasatan projek mega terowong dasar laut Pulau Pinang. foto IQBAL BASRI, 03 MAC 2018.

PUTRAJAYA –  Skandal membabitkan pembinaan terowong dasar laut yang mencecah hampir RM6.3 bilion di Pulau Pinang terus dilanda kontroversi apabila seorang lagi ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ ditahan reman empat hari selepas didakwa terlibat menerima suapan berjumlah RM3 juta.

Jumlah itu di terima oleh suspek selepas mendakwa dirinya mampu menutup kes siasatan projek mega itu yang kini dalam siasatan Suruhanjaya Siasatan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak tahun lalu berikutan dakwaan wujud unsur penyewelengan dan salah guna kuasa.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Eng Kar Wen selepas membenarkan permohonan SPRM untuk menyiasat lelaki berkenaan sehingga 6 Mac ini.

Menurut sumber, suspek yang juga seorang ahli perniagaan dari Pulau Pinang berketurunan India Muslim itu berusia 64 tahun menerima wang berjumlah RM3 juta menerusi empat transaksi pada tahun lalu.

Kata sumber itu, suspek pada mulanya menerima suapan RM4 juta sebagai habuan, namun jumlah itu dikurangkan kepada RM3 juta selepas rundingan dilakukan.

Pada Rabu lalu, seorang lelaki bergelar Datuk Seri berumur 37 tahun direman enam hari sehingga 5 Mac ini kerana dipercayai menerima suapan RM19 juta membabitkan kes sama.

Suspek yang juga merupakan seorang pelakon didakwa terlibat dalam skandal dengan mendakwa dirinya merupakan ‘orang tengah’ antara beberapa ahli politik berpengaruh dan mampu ‘menutup’ kes penyiasatan SPRM.

Dia dikatakan menerima wang berkenaan daripada sebuah syarikat pembinaan utama projek terbabit sebelum di bayar secara berperingkat sekitar Julai dan Ogos tahun lalu.

Katanya, pembayaran pertama berjumlah RM2 juta dibuat pada Julai tahun lalu di rumah suspek, manakala bayaran kedua iaitu sebanyak RM15 juta pula dilakukan kepada sebuah syarikat pada bulan sama dan pembayaran ketiga dan terakhir pada Ogos tahun lalu.

Projek mega terowong itu mencetuskan pelbagai kontroversi, termasuk kos kajian kebolehlaksanaan terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran menggunakan tanah kerajaan negeri serta pelaksanaan dibantah penduduk yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar. – MalaysiaGazette