Wan Saiful Wan Jan. foto IQBAL BASRI, 22 APRIL 2017.
Wan Saiful Wan Jan. foto IQBAL BASRI, 22 APRIL 2017.

PETALING JAYA – Biarpun baru lima hari menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Wan Saiful Wan Jan menerima tempias apabila dikhabarkan akan dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Terkejut dengan perkara itu, Wan Saiful yang meninggalkan Institusi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) baru-baru ini bagaimanapun berkata beliau bersedia sekiranya dicalonkan oleh parti.

“Saya terkejut bila dapat tahu tentang berita saya nak bertanding di Putrajaya.. dari segi bertanding dan kerusi itu bergantung kepada Parti.

“Memang saya tidak tahu bertanding atau tidak. Masa saya masuk ada berbincang sama ada saya nak bertanding atau tidak. Saya beritahu kalau diperlukan saya sedia tetapi dari segi kerusi mana, jadi atau tidak itu bukan jadi topik,” katanya kepada Malaysia Gazette.

Bekas Pengarah Eksekutif Ideas itu dikatakan akan bertanding di Parlimen Putrajaya bagi menghadapi Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

“Perbincangan sebenar menjurus kepada apa yang saya boleh tolong untuk pastikan kita ada peluang besar untuk menang.

“Kalau sekiranya diberi peluang, ya (saya akan bertanding). Dari segi dari kerusi mana (parti) kena fikir betul-betul tambahan saya orang baharu,” jelas Wan Saiful.

Media sebelum ini melaporkan PH akan mempertaruhkan Wan Saiful untuk merampas kerusi Parlimen Putrajaya daripada BN.

Berita yang memetik sumber itu berkata, pucuk pimpinan PH sudah bersetuju dan menunggu lampu hijau daripada gabungan itu bagi menentang Tengku Adnan pada PRU14 kelak. -MalaysiaGazette.