Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching menyampaikan sijil penghargaan kepada penerima, Nikmaheran Nik Muhammad dari Universiti Malaysia Kelantan pada Majlis Perasmian dan Makan Malam Sempena Program 1st International Media Literacy For Social Change (MEDLIT) Conference 2018 di Palace of the Golden Horses Hotel, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 06 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – Penganjuran Persidangan Antarabangsa Literasi Media 2018 (ICMEDLIT) selama dua hari telah memberi satu nafas baru kepada pengguna media sosial tentang kepentingan penghantaran maklumat secara betul.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Mary Yap berkata, ICMEDLIT menjadi platform penting dengan usahanya untuk memberikan kesedaran serta pembudayaan terhadap penerimaan dan penghantaran maklumat agar lebih sensitif dalam menguruskannya.

Menurut beliau, dengan dunia yang kini bergerak pantas menggunakan ledakan maklumat pantas dan berteknologi tinggi, media yang bertindak sebagai penggerak sosialisasi amat relevan dalam mempengaruhi pengguna.

“Penggunaan media sosial ada baik dan buruknya juga, ianya tiada sempadan. Semua orang mampu menggunakan media sosial untuk menyebarkan pelbagai perkara ketika ini.

“Pada kami di Kementerian Pendidikan Tinggi, kami menghargai usaha yang dilakukan oleh ICMEDLIT yang di lihat berjaya mengumpulkan pelbagai ahli akademik dalam semua bidang dari rata-rata negara ASEAN untuk membincangkan banyak perkara.

“Persidangan berkaitan celik literasi boleh dianggap sebagai satu usaha untuk memberikan kesedaran serta pembudayaan terhadap penerimaan dan penghantaran maklumat agar lebih sensitif dalam mengurus data berkenaan,” katanya pada majlis makan malam penutupan ICMEDLIT malam ini.

ICMEDLIT 2018 yang akan berlangsung dua hari bermula kelmarin di Palace of Golden Horses merupakan kemuncak kepada Projek Literasi Media sebagai Program Kompeten Media Untuk Perubahan Sosial yang telah mendapat Geran Penyelidikan Erasmus+, Kesatuan Eropah.

Persidangan itu juga telah menghimpunkan ahli akademik, penyelidik, pengamal media, pertubuhan bukan kerajaan, pelajar yang membentangkan hasil kajian, perkongsian amalan literasi media serta mengemukakan resolusi untuk dipanjangkan kepada pihak berkuasa.

Tambah Mary Yap, penggunaan media sosial untuk menyebarkan berita-berita negatif seharusnya tidak dipandang ringan sebaliknya mencari jalan memberi kesedaran supaya ianya digunakan dengan positif.

Seramai lebih 400 delegasi telah menghadiri persidangan dua hari ini yang turut mendapat sokongan serta kerjasama dari negara seperti Belanda, Jerman, Austria, Thailand dan Vietnam.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast