Ops Rentap
Ketua Polis KL, Mazlan Lazim

KUALA LUMPUR – Seramai 7,563 pegawai kanan dan anggota polis Kuala Lumpur akan bertugas semasa proses Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kesemua pegawai dan anggota polis berkenaan akan terbabit secara langsung dalam menjamin keselamatan merangkumi pembubaran Parlimen, hari penamaan calon, tempoh berkempen, hari mengundi dan tempoh selepas mengundi atau pasca PRU.

“Kesemua anggota polis ini akan memastikan keselamatan di tempat mengundi, lalu lintas dan keselamatan orang ramai sepanjang PRU berlangsung kelak.

“Justeru, bagi memastikan kelancaran PRU ini nanti, kita berharap orang ramai dapat memberikan kerjasama seperti keluar mengundi awal, mengamalkan berkongsi kenderaan atau ‘car pool’ bagi elak kesesakan dan tidak menghalang lalu lintas.

“Mereka juga diminta terus meninggalkan tempat mengundi sebaik selesai membuang undi selain menghormati hak semua pihak termasuk pihak yang menjalankan tugas,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan Fasa 2 Latihan Amal PRU-14 yang bertujuan untuk mengukur masa tindak balas polis dari tempat kejadian jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

“Latihan bagi menguji tindakan balas ini membabitkan beberapa elemen seperti Pasukan Penggempur Ringan (LSF), Unit Rusuhan Ketenteraman Awam (PORU), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB), tindak balas unit gerakan peringkat daerah dan kontinjen selain sistem komputer serta sistem yang dibentuk khas untuk PRU.

“Kita berharap latihan ini dapat meningkatkan kesiapsiagaan polis Kuala Lumpur sepanjang menghadapi PRU nanti,” katanya. – MalaysiaGazette