MELBOURNE- Limpahan air banjir di negeri utara Australia, Queensland mendedahkan satu lagi bahaya iaitu buaya.

Pelawat tidak diundang itu memasuki bandar Ingham menghala hujung tenggara, demikian menurut beberapa gambar yang dimuat naik oleh para penduduk ke sosial media, selepas empat hari hujan lebat memecahkan tebing sungai dan menyebabkan banjir di bandar berkenaan.

Menurut penyelidik buaya di Zoo Australia, Queensland, Toby Millyard, reptilia itu dipercayai berenang di dalam banjir untuk berpindah ke kawasan lain dan mencari makanan.

“Sesetengah buaya suka apabila hujan dan menggunakan arus air untuk berpindah, mereka adalah haiwan yang pintar.

“Tetapi mudah untuk mengelakkan mereka asalkan anda tidak berada di dalam air atau berdiri di pinggir tebing, anda akan selamat,” katanya.

Pada pagi Ahad, sekumpulan pelajar sekolah dan guru-guru terperangkap di dalam banjir di sebuah tapak perkemahan terasing di bandar Tully tetapi berjaya diselamatkan, kata jurucakap Perkhidmatan Kebakaran dan Kecemasan Queensland.-Agensi