Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan janji yang dibuat oleh Pakatan Harapan (PH) untuk menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam manifesto mereka baru-baru ini tak mampu dicapai.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, dalam sesebuah negara, rakyat tidak dapat lari daripada membayar cukai namun kerajaan perlu mencari jalan agar ia tidak membebankan rakyat berpendapatan rendah.

“Mengambil contoh salah satu manifesto iaitu menghapuskan cukai. Bagi kita ia salah satu perkara yang tidak mampu dicapai kerana dalam sesebuah negara, kita tidak boleh lari dari cukai.

“Bagi kita cukai tetap ada, namun perlu diselaraskan supaya ia tidak membebankan rakyat berpendapatan rendah,” beliau dipetik berkata dalam Sinar Harian hari ini.

Terdahulu, PH melancarkan Manifesto PRU14 yang menjanjikan 10 perkara terutamanya meringankan beban rakyat dalam masa 100 hari pertama pentadbiran mereka.

Antaranya ialah, menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN yang bergaji kurang dari RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam.

Turut dijadikan modal pilihan raya ialah menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar. – MalaysiaGazette