Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berucap pada Majlis Minum Petang Dana PRU-14 dan Pelancaran Jentera Penerangan PAS Lembah Pantai di Bilik Gerakan Induk PAS Lembah Pantai, Bangsar, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 11 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – Selepas janji Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mahu berjumpa dengan 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas tidak ditunaikan, Pas Selangor mahu mengadu masalah tersebut kepada Sultan Selangor.

Perkara itu disahkan Ketua Penerangan Pas negeri, Roslan Shahir Mohd Shahir yang berkata, tindakan itu perlu diambil selepas Azmin yang mahu berjumpa selepas Tahun Baharu Cina tidak mengotakan janji itu namun sehingga kini tidak ada sebarang kemajuan.

“Sehingga hari ini tidak ada perubahan, 13 ADUN Pas dinafikan hak untuk mendapat peruntukan mereka… janji selepas Tahun Baharu Cina tapi hingga hari ini tidak ada makluman,” kata beliau semasa sidang media selepas pelancaran jentera penerangan Pas di Lembah Pantai semalam.

Roslan Shahir yakin hanya dengan langkah tersebut hak 13 ADUN Pas dapat ditegakkan dan Sultan Selangor pasti akan prihatin dengan isu tersebut.

“Kami putuskan akan mengadu perkara ini kepada Sultan, kami yakin Tuanku sangat prihatin dengan isu ini,” katanya.

Mengenai sama ada persediaan Pas bakal terjejas apabila tiada peruntukan diberikan kepada wakil rakyat mereka, Roslan Shahir berkata, parti itu tetap bersedia walaupun tanpa peruntukan diberikan.

“Kami bersedia bertanding walaupun tanpa peruntukan,” katanya.

Roslan Shahir memberitahu, pihaknya akan mengadu dalam minggu ini dengan mengutus surat kepada Istana berhubung isu tersebut.

Semua 13 ADUN Pas Selangor mendakwa masih belum menerima peruntukan tahunan berjumlah RM800,000 walaupun tahun 2018 sudah masuk tiga bulan.

Mereka yang kecewa dengan perkara itu mendakwa kemungkinan Azmin sengaja melakukannya bagi mengganggu gerak kerja ADUN Pas menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). – MalaysiaGazette