Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berucap pada Majlis Pelancaran Transformasi Digital Pembelajaran Abad Ke 21 di Pusat Konvensyen TM, Bangsar. foto SAFWAN MANSOR, 13 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Rancangan Makanan Tambahan (RMT) merupakan satu-satunya bantuan makanan yang disediakan kerajaan kepada pelajar yang tidak berkemampuan untuk memastikan mereka mendapat nutrisi mencukupi, sama ada di bandar mahupun luar bandar.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau terkejut apabila Malaysia disamakan dengan Ghana yang terkenal dengan kekurangan zat makanan sedangkan negara ini jauh lebih maju dan kaya dengan sumber makanan.

“Sebab itu bila Unicef keluar gambaran bahawa kita sama dengan Ghana, saya pun tak faham, mereka kata dalam bandar di perumahan PPR .

“Perumahan rakyat dulu dalam kawasan setinggan, kerajaan telah pilih bangunan buat apartment tinggalkan di situ. Kemudian dia kata makanan dari segi nutrisi pula.

“Unicef kena periksa dan teliti soal nutrisi ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Transformasi Digital Kementerian Pendidikan Malaysia – ke Arah Pembelajaran Abad ke-21 di Pusat Konvensyen TM, di sini, hari ini.

Beliau mengulas hasil kajian Tabung Kanak-Kanak PBB (Unicef) yang dibentangkan kepada ahli-ahli Parlimen pada 6 Mac lalu mendedahkan seramai 26 peratus kanak-kanak di bawah umur 5 tahun di Terengganu mengalami pembesaran fizikal terbantut tidak mengikut umur sepatutnya.

Unicef merupakan badan yang memberi bantuan kemanusiaan dan perkembangan kepada kanak-kanak di seluruh dunia.

Unicef beribu pejabat di New York dan program-programnya menekankan perkhidmatan menjaga kesihatan dan kebajikan kanak-kanak di peringkat masyarakat.

Mahdzir berkata, pada masa ini seramai 400,000 pelajar telah mendapat manfaat daripada program RMT.

“Ia diberikan kepada pelajar sekolah harian sahaja. Malah Bajet 2018 memperuntukkan RM250 juta bagi membiayai program RMT ini pada tahun ini.

“Pemberian RMT ditentukan oleh guru yang akan pilih keluarga yang tiada kemampuan dari segi pendapatan

“Penjagaan dari segi makanan berkhasiat untuk anak-anak di sekolah dalam keadaan baik, bukan saja untuk anak di bandar, tapi Orang Asli, orang Penan pun dapat.

“Di Semananjung RM2.50 seorang untuk makan pagi, di Sabah dan Sarawak RM3,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast