Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sanggup bertanding di bawah tiket mana-mana parti politik dalam Pakatan Harapan termasuk DAP pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dibubarkan.

Pengerusi PPBM itu berkata perkara itu antara pilihan yang sedang difikirkan susulan kemelut dalam partinya yang berdepan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

“Saya terbuka, malah saya sedia bertanding untuk DAP, mungkin presiden DAP,” katanya dengan sinis pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada PPBM akan meletakkan calonnya dan bertanding menggunakan tiket rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang pada PRU14 jika parti itu dibubarkan.

Ditanya sama ada kemelut yang melanda PPBM itu menjadi halangan bagi pakatan itu pada PRU nanti, Dr Mahathir berkata:”Memang, jika mereka (RoS) tidak meluluskannya, akan jadi sukar, tetapi kami akan berkempen sebagai Pakatan Harapan.”

Baru-baru ini, RoS mengeluarkan notis kepada PPBM mengkehendaki parti itu menyerahkan maklumat serta dokumen termasuk minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta penyata kewangan parti kepada jabatan itu.-BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast