Kakitangan beberapa syarikat milik kerajaan dipercayai masih lagi menunggu lampu hijau daripada Kementerian Kewangan untuk kelulusan bagi pembayaran bonus.

KUALA LUMPUR – Wang berjumlah CHF 104 juta yang dipegang Perbendaharaan Persekutuan Switzerland bukan milik rakyat Malaysia seperti yang didakwa Lim Kit Siang dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dalam surat mereka kepada Ahli Parlimen negara itu.

Berikutan itu, adalah sukar untuk Kementerian Kewangan membuat penetapan bagi menuntutnya daripada kerajaan Switzerland.

Menurut Kementerian Kewangan, pihaknya menyedari Pihak Berkuasa Pasaran Kewangan Switzerland (FINMA) sedang melakukan siasatan ke atas pelbagai bank di negara itu berhubung pembersihan wang dan mendapat keuntungan secara haram daripada beberapa transaksi perbankan tanpa melakukan pemeriksaan latar belakang yang mencukupi dalam hubungan perniagaan dan transaksi.

Ia merupakan kesalahan berat di bawah undang-undang kewangan dan perbankan Switzerland, katanya.

“Kami juga dimaklumkan bahawa pengenaan denda telah dipertikaikan oleh pelbagai bank Switzerland dan mereka kini sedang merayu kepada mahkamah Switzerland untuk dilepaskan daripada sebarang kesalahan,” kata Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi membantah dakwaan Kit Siang bahawa aset 1Malaysia Development Bhd (1MDB) telah disalahgunakan.

Wan Azizah dan Kit Siang telah mengirim surat kepada Ahli Parlimen Switzerland untuk melobi mandapatkan balik wang tersebut yang didakwa mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Menurut Kementerian Kewangan, 1MDB telah memaklumkan kepada kementerian itu bahawa sebarang dakwaan mengenai asetnya yang dicuri atau disalahguna sama ada di dalam atau luar negara adalah tidak benar dan ia telah dipolitikkan.

Katanya, pemeriksaan dan audit yang dilakukan oleh pelbagai agensi penguatkuasaan Malaysia termasuk Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis DiRaja Malaysia dan Peguam Negara dan agensi berkaitan tidak menunjukkan atau mengesan kehilangan dana daripada 1MDB, – Malaysigazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast