Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (dua kiri) meluangkan masa meninjau kediaman kakitangan TUDM yang siap dibina pada Majlis Perasmian Pangkalan Udara Sendayan, Negeri Sembilan. foto IQBAL BASRI, 16 MAC 2018.

SEREMBAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata rakyat dan pihak pembangkang boleh sahaja mengkritik pelaksanaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) namun mereka tidak boleh menafikan segala kebaikannya yang telah dikecapi rakyat.

Mengulas lanjut, Najib berkata, 1MDB telah membantu kerajaan dalam proses pelaksanaan program pemindahan dan pembinaan lapan kem baharu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menelan belanja RM2.7 bilion.

“Kalau nak kritik, boleh kritik tapi kebaikan itu mesti kita sebut juga, jika tiada perancangan maka tiadalah PU Sendayan,” katanya dalam ucapan perasmian Pangkalan Udara Sendayan yang menggantikan Pangkalan Udara TUDM Kuala Lumpur mulai hari ini.

Dalam pada itu, Najib berkata, hasil yang diperoleh negara adalah terhad, oleh itu kerajaan perlu mencari jalan lain dalam memastikan perancangan yang direncana negara tersusun dan dapat direalisasikan.

“Kita perlukan cara lebih kreatif. Jika aset itu ada di tengah-tengah bandar kita guna aset untuk meraih pulangan kepada kita.

“Sebelum kita boleh bangunkan Bandar Malaysia kita kena sediakan pangkalan baru seperti Sendayan,* katanya lagi.

Esok, dua lagi kem seumpama itu akan dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Subang.

Ia merangkumi kem penempatan kakitangannya PDRM yang dilaksanakan dibawah 1MDB. – MalaysiaGazette.