Datuk Seri Liow Tiong Lai

PETALING JAYA: DAP dijangka menghantar bidan terjun ke Bentong dan Labis masing-masing di Pahang dan Johor dalam misinya untuk menawan kerusi-kerusi Parlimen yang berjaya dipertahankan MCA pada pilihan raya lalu.

Dalam pencaturan terkini, parti pembangkang itu dilaporkan Sinchew Daily akan menghantar Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo untuk berdepan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong di Labis.

Gobind merupakan anak kepada orang kuat DAP, Karpal Singh manakala Tee Yong ialah anak kepada bekas Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek.

Penghantaran Gobind ke Labis pasti akan menghangatkan keadaan di Johor terutamanya selepas Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dilapor akan dipindahkan dari Kluang ke Ayer Itam untuk berdepan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Di Pahang pula, keadaannya tidak kurang sengitnya apabila aktivis anti-Lynas Wong Teck yang kecundang di Bentong pada pilihan raya lalu mencadangkan seorang lagi aktivis, Ambiga Sreenevasan untuk menggantikannya untuk berdepan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai di kerusi Parlimen Bentong.

Wong Teck mengusulkan cadangan itu selepas dirinya dibelenggu kes mahkamah yang menjejaskan kelayakannya untuk bertanding.

Walaupun Ambiga dilaporkan tidak berminat untuk bertanding, tetapi DAP tetap akan mengatur calon kuat untuk menggempur kubu Presiden MCA di Pahang.

Di Raub juga di Pahang, DAP dilaporkan merancang supaya Ahli Parlimen Seputeh, Kuala Lumpur, Teresa Kok untuk berdepan Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun.

MCA memenangi hanya tujuh kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum lalu iaitu Labis, Tebrau, Tanjung Piai, Ayer Itam, Alor Gajah, Bentong dan Tanjung Malim. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.