LOS ANGELES- Pelakon dan penerbit, Irfan Khan yang terkenal dalam filem Slumdog Millionaire, Life of Pi dan The Darjeeling Limited telah disahkan menghidap ketumbuhan neuroendokrin, satu ketumbuhan yang jarang berlaku dan boleh menyebabkan kanser.

Irfan, 51, salah seorang pelakon terkenal dari India ini mendedahkan perkara tersebut pada Jumaat selepas beliau mengakui sedang menderita akibat sakit misteri.

“Perkara yang tidak diduga ini menyebabkan kita matang dan inilah yang berlaku beberapa hari lalu.

“Apabila mengetahui saya telah didiagnosa dengan ketumbuhan Neuroendokrin, saya akui ianya memang sukar tetapi kasih sayang dan kekuatan yang berlegar di sekeliling saya telah meletakkan diri ini ke satu tempat yang lebih tinggi.

“Penyakit ini membuatkan saya terpaksa meninggalkan negara dan saya meminta setiap orang terus mengirimkan doa,”katanya dalam Twitter.

Irfan berharap setiap orang yang menantikan cerita penuh daripadanya bersabar dan menantikan kepulangannya.

Pada posting di Twitternya pada 5 Mac lalu, Irfan mengakui sedang mengalami penyakit ganjil dan ini telah menimbulkan spekulasi dalam kalangan media India.- MalaysiaGazette