Home Dunia Kebakaran di Australia musnahkan kediaman, ternakan

Kebakaran di Australia musnahkan kediaman, ternakan

Cuaca panas dan angin kencang menyebabkan kediaman dan ternakan musnah di Australia. foto News.com

CANBERRA – Penduduk Australia yang terjejas dengan kebakaran diminta berjaga-jaga kerana kebakaran hutan  telah memusnahkan berpuluh-puluh rumah, mengorbankan ternakan dan memaksa beratus-ratus penduduk berlindung di kawasan lain kini merebak di tenggara negara itu.

Tiada kematian atau kecederaan serius yang dilaporkan setakat pagi ini.

Tetapi kebakaran hutan telah menyebabkan kerosakan besar di kawasan pedalaman Victoria dan New South Wales (NSW). Sekurang-kurangnya 75 rumah telah musnah, kata pihak berkuasa.

Terdapat 22 kebakaran dan lima masih belum dapat dipadamkan. Masih banyak kebakaran di sekitar, kata Timbalan Pesuruhjaya Perkhidmatan Kebakaran NSW, Rob Rogers.

Kebakaran itu berpunca daripada cuaca panas dan kering yang mencecah 41 darjah celsius serta angin semalam.

Pegawai kecemasan berkata, keadaan dijangka dapat dikawal hari ini tetapi masih memantau lima kawasan.

Sekurang-kurangnya 70 buah bangunan termasuk rumah dan sekolah musnah di Tathra di NSW.

Sehingga hari ini seramai 700 penduduk telah dipindahkan ke pusat perlindungan sementara di bandar Bega dan beberapa sekolah yang terjejas ditutup hari ini.

Seramai 280 anggota polis sedang bertungkus-lumus memadam kebakaran manakala 22,000 kediaman tidak mempunyai bekalan elektrik selepas angin kencang menyebabkan pokok tumbang.

Di Darwin juga kira-kira 25,000 penduduk mengalami gangguan elektrik selepas kawasan itu dilanda ribut tropika.

Bagaimana tiada kematian dilaporkan. – MalaysiaGazette