Home Dunia Rusia tolak bincang isu kemanusian Syria

Rusia tolak bincang isu kemanusian Syria

NEW YORK – Rusia menolak dan menghalang mana-mana pihak untuk mengadakan usul bagi membincangkan konflik hak asasi kemanusian di Syria oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) semalam.

Wakil tetap Rusia ke PBB, Gennady Kuzmin menolak sebarang perbincangan berhubung isu itu, selain mengkritik cubaan tersebut.

“Saya tidak lihat ada sebarang objektif serta kewajaran untuk kita membincangankan isu hak asasi kemanusian dalam agenda Majlis Keselamatan,” tegasnya.

Kuzmin kemudian memohon undian diadakan dan cuma lapan delegasi mengundi menyokong, kurang satu undian yang diperlukan untuk mesyuarat diadakan.

Russia adalah penyokong kuat Presiden Bashar al-Assad.

Perancis dan enam negara lagi menggesa pertemuan diadakan, yang dijangka memasukkan taklimat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi PBB, Zeid Ra’ad al-Hussein.

Majlis Keselamatan dianggotai 15 negara itu menghadiri pertemuan tidak rasmi tersebut.

Sementara itu, Zeid Ra’ad menyelar tindakan Majlis Keselamatan yang gagal mempertahankan hak asasi kemanusian selain menghalang daripada berlakunya pertumpahan darah di negara itu.

Jelas Zeid Ra’aad, perang lapan tahun di Syria telah menyebabkan hampir setengah juta penduduk awam tidak berdosa termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas menjadi korban.

“Majlis Keselamatan tidak menghiraukan korban nyawa tidak berdosa di Syria. Mengapa tidak ada sebarang tindakan tegas dengan mempetahankan hak asasi manusia selain menghalang lebih banyak nyawa terkorban,” tegasnya.

Beliau berkata demikian pada pertemuan tidak rasmi di PBB sejurus sebelum taklimat yang dijangka diberikan kepada Majlis Keselamatan dihalang apabila Russia meminta undian prosedur dibuat.

Zeid mengecam penggunaan kuasa veto di majlis itu untuk melindungi penjenayah kemanusiaan dan perang di Syria dan di negara lain daripada dibawa ke muka pengadilan. –MalaysiaGazette