Najib Razak

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan peruntukan bernilai RM2.9 bilion sebagai bukti kerajaan komited membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam kalangan usahawan bumiputera.

“Maka untuk mengukuhkan lagi tiang sokongan Kerajaan Barisan Nasional kepada PKS terutamanya para usahawan bumiputera… hari ini saya berbesar hati mengumumkan 11 insentif baharu yang membawa nilai RM2.9 bilion,” kata beliau semasa berucap pada Himpunan Usahawan Bumiputera di Stadium Axiata, Bukit Jalil.

Insentif terbesar diberikan adalah dana sebanyak RM500 juta akan disediakan bagi mempergiatkan pembangunan usahawan Bumiputera dalam Industri Peruncitan dan Pengedaran dimana RM200 juta diperuntukan oleh kerajaan dan RM300 juta oleh Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

Selain itu, insentif RM50 juta diperuntuk untuk penyenaraian syarikat PKS dipasaran LEAP atau LIVE dimana setiap syarikat yang berjaya disenarai dan dimasukkan di dalam Program Peningkatan Enterprise Bumiputera (BEEP) dibawah SME Corp akan menerima geran RM500,000 setiap satu.

Bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka juga, Najib turut mengumumkan pelanjutan Skim Pembiayaan Kontrak Ekspress (SPiKE) berjumlah RM50 juta dibawah MARA dan peruntukan Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPiM) berjumlah RM50 juta.

Lebih menarik lagi, Perdana Menteri turut melanjutkan lagi program Dana Mudahcara Bumiputera Fasa Kedua dengan peruntukan lanjutan sebanyak RM2 bilion mulai tahun ini.

Dalam pada itu, Najib turut mengumumkan penubuhan Persatuan Bumiputera SME Malaysia atau ringkasnya BumiSME sebagai platform yang akan menyatukan semua PKS daripda pelbagai latar belakang dan industri dimana Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid dilantik pengerusi protem persatuan itu.

Satu ekspo mega melibatkan usahawan PKS juga diadakan apabila Najib mengumumkan peruntukan RM10 juta untuk BumiSME menganjurkan Pesta Mega Tahunan Ekspo dan Jualan PKS Bumiputera Negara. – MalaysiaGazette