Home Nasional PPA tawar ganjaran tarik anggota baharu, sedia ada PRS

PPA tawar ganjaran tarik anggota baharu, sedia ada PRS

KUALA LUMPUR – Pentadbir Pencen Swasta Malaysia (PPA) menyasarkan untuk mengekalkan kadar pertumbuhan yang tinggi dalam keanggotaan Skim Persaraan Swasta (PRS) setelah berjaya memecahkan rekod pertumbuhan tahun lepas, dengan menawarkan ganjaran kepada anggota baharu dan sedia ada.

Dalam satu kenyataan hari ini, PPA berkata untuk menggalakkan semakin ramai rakyat Malaysia lebih bersedia menempuh persaraan mereka dari segi kewangan, ia akan melancarkan Pendaftaran PRS Secara Dalam Talian dan Kempen Rujukan pada 2 April ini.

“Tawaran kempen ini sangat mudah: Untuk bakal anggota, setiap pendaftaran baharu yang ke-20 akan diberikan ganjaran sebanyak RM100 dalam bentuk unit PRS jika mereka berjaya mendaftar secara dalam talian,” katanya.

Menurut PPA, anggota PRS sedia ada turut boleh mengambil bahagian dalam kempen itu dengan merujukkan anggota baharu kepada PRS dan setiap pencadang yang ke-20 akan menerima RM100 dalam bentuk unit PRS apabila anggotai yang dirujuk berjaya didaftarkan melalui Pendaftaran PRS Secara Dalam Talian.

Kempen akan berlangsung sehingga hujung September dan pendaftar serta pencadang yang berjaya akan diumumkan pada hari Khamis setiap minggu, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif PPA, Husaini Hussin berkata pentadbir pusat PPA optimistik dapat mengekalkan momentum pertumbuhan dalam keanggotaan PRS setelah berjaya memecahkan rekod pertumbuhan pada tahun lepas.

“Kami ingin mengekalkan momentum setelah berjaya memecahkan rekod pertumbuhan tahun lepas.

“Tidak mudah untuk terus memajukan industri PRS dalam julat lebih daripada 30 peratus setiap tahun tetapi kami percaya matlamat ini boleh dicapai,” kata Husaini.

Menurut PPA, tahun lepas mencatatkan penambahan ahli sebanyak 36 peratus, daripada 221,235 pada 2016 kepada 301,279 anggota pada 2017.

“Jumlah nilai aset bersih (NAV) bagi 56 dana PRS meningkat sebanyak 47 peratus kepada RM2.23 bilion pada akhir 2017 berbanding RM1.51 bilion pada tahun sebelumnya,” katanya.

PPA adalah badan yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan ditubuhkan untuk mentadbir dan menggalakkan pertumbuhan industri PRS.

Menurut kenyataan itu, pendaftaran dalam talian membolehkan bakal anggota PRS mendaftar dengan segera melalui www.ppa.my dengan mudah, selesa dan selamat. – MalaysiaGazette