ALOR SETAR – Dua nama daripada Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Kedah sekiranya blok pembangkang itu memenangi negeri itu pada PRU-14.

Kedua-dua nama yang disebut-sebut itu ialah bekas ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Ir. Amiruddin Hamzah dan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Mereka merupakan calon yang paling layak untuk menyandang jawatan penting tersebut memandangkan pengaruh dan pengalaman yang dimiliki masing-masing.

“Amiruddin seorang profesional dan mempunyai pengaruh besar dikalangan akar umbi dan penyokong Pas juga dilihat cenderung dengan beliau.

“Bagaimanapun, Mukhriz juga mempunyai pengaruhnya dan memiliki pengalaman menjadi Menteri Besar sebelum ini,” kata sumber kepada MalaysiaGazette hari ini.

Kedua-dua pemimpin itu mempunyai kelebihan tersendiri dan pucuk pimpinan ketika ini masih dalam proses meneliti untuk memilih siapa lebih layak untuk menjawat jawatan tersebut, kata sumber.

“Pucuk pimpinan masih dalam peringkat meneliti beberapa faktor yang perlu diambilkira, antaranya siapa yang lebih berpengaruh dan lebih disukai dengan rakyat.

“Pengumuman mungkin hanya akan dibuat semasa tempoh berkempen sebaik penamaan calon nanti,” katanya.

Amiruddin menyertai PPBM pada November tahun lalu, beliau juga sebelum itu melepaskan jawatan sebagai Yang Dipertua Pas Kuala Kedah pada Mei 2016.

Amiruddin sebelum ini dilabel antara wakil rakyat Pas dalam kategori ‘harumanis’ bersama Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan ADUN Kubang Rotan, Mohd. Nasir Mustafa, berikutan pendirian mereka yang dilihat cenderung ke arah menyertai Pakatan Harapan.

Amiruddin, 55, menyertai Pas pada 1999 dan menjadi ADUN Anak Bukit sejak tahun 2002 melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) dan kekal selama tiga penggal.

Menurut sumber, walaupun dalam kalangan rakyat Kedah mereka bersimpati dan menyokong Mukhriz selepas penyingkirannya sebagai Menteri Besar tetapi peranan dan pengaruh Amiruddin pula tidak boleh diketepikan.

“Pengundi Kedah mungkin masih ada yang bersimpati dengan Mukhriz, tapi faktor Amiruddin tidak boleh diketepikan… beliau ini rapat dengan akar umbi dan mempunyai kelayakan.

“Simpati sahaja mungkin tidak mencukupi tapi juga perlu diambilkira faktor kekuatan seseorang calon Menteri Besar itu,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette