AL MUKALLA, Yemen – Kumpulan militan Houthi di Yemen menembak sebuah kapal tangki minyak Arab Saudi dengan menggunakan peluru berpandu semalam.

Serangan tersebut boleh menyemarakkan lagi konflik yang telah berterusan selama tiga tahun dengan para pemimpin Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu optimis konflik itu akan berkhir sebelum ini, lapor The New York Times.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan rangkaian televisyen Al Mayadeen di Yemen, kumpulan Houthi berkata, serangan peluru berpandu itu merupakan tindak balas daripada kematian 14 orang awam Yemen pada Isnin lalu susulan serangan ke atas Al Hudaydah, pelabuhan yang dikuasai kumpulan militan itu, oleh Arab Saudi.

Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh, termasuk kanak-kanak, ketika mereka berada di luar bangunan kediaman untuk menghirup udara segar pada waktu pagi, kata para saksi.

Perikatan ketenteraan yang diketuai Arab Saudi telah mengebom kumpulan Houthi dan sekutunya sejak 2015 berkata, serangan terhadap Al Hudaydah merupakan sasaran tentera.

Kumpulan Houthi tidak mempunyai angkatan tentera udara. Bagaimanapun kumpulan itu mencetuskan kemarahan Arab Saudi dengan melancarkan peluru berpandu secara berterusan, temasuk serangan yang dilakukan pada akhir bulan lalu.

Arab Saudi mendakwa senjata yang digunakan itu dibekalkan oleh Iran, musuh serantau negara itu. Iran menafikan dakwaan berkenaan.

Sementara itu, Arab Saudi mengesahkan kapal tangkinya, yang tidak dikenal pasti nama, diserang oleh ‘Houthi yang disokong Iran’ pada waktu tengahari.

Kapal tangki itu berada di perairan antarabangsa di barat Al Hudaydah, menurut kenyataan jurucakap perikatan Arab Saudi, Kolonel Turki al-Malki.

Beliau tidak mendedahkan kerosakan kapal tersebut namun menyifatkan serangan tersebut sebagai ‘ancaman serius kepada pelayaran maritim dan perdagangan antarabangsa’ di rantau itu.

Jurucakap yang memberi bayangan bahawa terdapat tumpuhan minyak berkata, serangan itu telah mewujudkan risiko ‘kemusnahan alam sekitar dan ekonomi’ dan kapal perang perikatan Arab Saudi telah mengiringi kapal tersebut beredar daripada kawasan itu.

Kumpulan Houthi menguasai hampir 200 batu (322 kilometer) pantai Laut Merah di Yemen, termasuk Al-Hudaydah yang merupakan pintu masuk bantuan kemanusiaan. – Agensi