KUALA LUMPUR – “Saya tidak akan berundur,” kata Dr Tan Seng Giaw, 75, anggota Parlimen Kepong sejak 1982 apabila ditanya sama ada beliau akan terus mempertahankan kerusinya pada pilihan raya umum ke-14 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Tan, anggota DAP sejak 1979, berkata beliau tetap akan mempertahankan kerusi Parlimen yang disandangnya selama lapan penggal itu.

“Saya tidak akan berundur, Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat ketika berusia 75 tahun, tambahan pula Tun Dr Mahathir (Mohamad) yang berusia 92 tahun masih lagi menjadi penasihat Pakatan Harapan,” kata pakar kulit itu kepada Bernama.

Dr Tan yang akan menyambut ulang tahun ke-76 pada 24 Mei ini berkata: “Ada pihak yang menyatakan usia saya sebegini sudah terlantar di hospital, patut berehat di rumah, tidak perlu lagi peduli sama hal-hal politik, cukuplah dengan lapan penggal, bersaralah,” kata mereka kepada saya.”

“Namun, pedulikanlah apa mereka cakap terhadap saya. Nak cakap saya tua ke, saya masih lagi kuat dan berupaya untuk membantu rakyat. Rakyat masih lagi mahu berjumpa saya untuk mendapatkan khidmat saya sebagai wakil rakyat dan mereka masih lagi percayakan saya,” katanya menepis dakwaan yang beliau antara yang akan digugurkan oleh DAP bagi memberi laluan kepada muka baharu.

Pengerusi DAP Selangor selama lima tahun pada 1982 hingga 1987 itu, bagaimanapun berkata: “Terpulanglah kepada pimpinan parti (DAP), apakah mahu pilih saya bertanding lagi atau tidak.- BERNAMA