Hanapi Mamat

KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Pasir Mas mengingatkan ahli dan penyokong Barisan Nasional (BN) agar memberi sokongan kepada sesiapa sahaja yang dipilih oleh pucuk pimpinan sebagai calon bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Ketuanya, Datuk Hanapi Mamat berkata, mereka tidak perlu mempertikaikan siapa calon, yang pentingnya kerjasama ahli dan penyokong untuk memastikan kemenangan kepada BN.

“Kepada penyokong BN dalam bahagian Pasir Mas, jangan pertikai siapa calon. Yang penting kita kena kerja keras untuk kemenangan,” katanya dalam amanat kepada ahli dan penyokong BN di Pasir Mas, semalam.

Pada PRU13, calon BN menarik diri di saat akhir sehingga menyebabkan berlaku pertandingan dua penjuru antara Pas yang diwakili Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz melawan calon Bebas, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali.

Calon BN bagi kerusi Parlimen Pasir Mas ketika itu ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Che Johan Che Pa, tetapi borang penyertaannya ditolak Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri.

Menurut Hanapi, PRU14 kali ini menyaksikan pertandingan agak sengit apabila BN bakal dicabar oleh Pas dan parti komponen Pakatan Harapan (PH).

“Walaupun pada pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar tahun lalu memihak kepada calon BN dengan pertandingan tiga penjuru, namun kemenangan itu tidak boleh dijadikan trend pada PRU ini.

“Kita kena kerja keras sehingga pada hari mengundi untuk memastikan kemenangan berpihak kepada BN,” katanya. – MalaysiaGazette