278, 590 pengundi awal akan mengundi awal esok
Mohd Hashim Abdullah

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak pernah mengeluarkan kenyataan penggunaan lambang atau simbol Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya oleh mana-mana calon yang dibenarkan parti tersebut perlu mendapat kebenaran suruhanjaya itu terlebih dahulu.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, apa yang dinyatakan beliau adalah sekiranya mereka bercadang bertanding atas tiket PKR, maka hanya simbol parti itu sahaja yang dibenarkan diguna semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk tujuan berkempen.

“Manakala simbol-simbol parti lain tidak boleh digunakan sebagai bahan kempen termasuk DAP, Amanah dan PPBM.

“Apa yang dinyatakan semasa sidang media selepas Simulasi Bilik Gerakan PRU14 pagi tadi adalah sekiranya status pendaftaran atau simbol Pakatan Harapan (PH) yang tidak diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) serta lambangnya masih tidak berdaftar dengan SPR, maka ianya tidak boleh digunakan dalam PRU14 sebagai bahan kempen,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau tampil membuat penjelasan itu ekoran salah faham dan kekeliruan berkaitan isu penggunaan lambang PKR oleh bakal-bakal calon daripada parti pembangkang bahawa mereka perlu mendapat kelulusan daripada SPR.

Mohd Hashim menambah, kenyataannya itu telah disalah ertikan seolah-olah keputusan penggunaan lambang PKR oleh ahli parti lain pada PRU14 mesti mendapatkan kebenaran SPR.

“Laporan pihak media berkenaan perkara itu adalah tersasar daripada makna sebenar yang cuba dinyatakan semasa sidang media tersebut pagi hari ini.

“Ingin ditegaskan bahawa kebenaran untuk menggunakan simbol PKR oleh calon yang ingin bertanding atas tiket parti itu adalah di bawah bidang kuasa parti itu.

“Saya berharap SPR berharap semua pihak tidak menyalah erti kenyataan tersebut,” kata beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Perhatikan MCA, MIC, Gerakan, SUPP & lain2 parti sabah & sarawak bawah BN kalau guna logo lain semasa berkempen.

Comments are closed.