KAMPAR – Seramai 22 murid dan 11 guru Sekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pekan dikuarantin akibat serangan hama yang mengakibatkan kegatalan pada kaki tangan yang serius.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata, masalah itu berpunca daripada hama yang terdapat pada bangkai haiwan seperti tikus yang ditemui di atas siling satu blok bangunan di sekolah berkenaan.

“Murid-murid berkenaan mengalami kegatalan yang serius menyebabkan mereka mengalami kudis berserta nanah.

“Mereka terpaksa dikuarantin di rumah masing-masing bagi mengelak sentuhan kulit dengan murid lain di mana ia kemungkinan boleh menyebabkan jangkitan.

“Satu blok di kawasan sekolah terbabit juga diarahkan tutup selama dua minggu bagi kerja pembasmian kuman. Masalah ini sudah dimaklumkan kepada pihak Jabatan Kesihatan sejak pertengahan Mac lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Terdahul isu serangan hama itu menjadi viral selepas pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kampar memuat naik gambar operasi pembersihan yang dilakukan di atas siling sekolah terbabit di laman Facebook jabatan berkenaan.

Beberapa gambar termasuk operasi pembersihan, murid yang dijangkiti kudis, bangkai tikus dipercayai dimakan burung hantu di atas siling bangunan dan sampel hama yang diambil turut dikongsi.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Hassan Merican dalam pada itu mengesahkan bilangan murid dan guru yang berdepan masalah itu termasuk mengalami kesan bintik-bintik pada tangan dan kaki.

Katanya, punca hama adalah daripada bangkai haiwan yang berada atas siling satu blok bangunan sekolah berkenaan dan tindakan segera diambil oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kampar selepas menerima notifikasi awal.

“Apabila masalah ini berulang pada awal April lalu, arahan penutupan satu blok bangunan sekolah berkenaan di bawah Seksyen 18(1)(c) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (dikeluarkan) selama dua minggu bermula 5 hingga 19 April ini untuk kawalan penyakit dan pembersihan lanjut dijalankan oleh pihak sekolah.

“Orang ramai juga tidak perlu bimbang kerana kejadian ini adalah terpencil dan dapat dikawal,” ujarnya. -MalaysiaGazette