Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah hadir pada Raptai dan Simulasi Operasi Bilik Gerakan PRU14 di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 07 APRIL 2018

PUTRAJAYA – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, pihaknya belum memutuskan tarikh untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14).

Ini kerana SPR belum menerima kesemua notis pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada Speaker DUN buat masa ini.

“Satu mesyuarat khas SPR berkaitan Urusan Pilihan Raya Umum ke 14 akan diadakan di Menara SPR namun tarikh PRU14 belum ditentukan lagi sehingga kita menerima semua pemakluman rasmi daripada Speaker DUN negeri masing-masing,” katanya pada sidang media hari ini.

Sebelum itu, Mohd Hashim meninjau raptai dan simulasi sempena PRU14 di Menara SPR.

Buat masa ini, SPR hanya menerima notis pembubaran daripada 4 negeri antaranya Johor, Perlis, Negeri Sembilan dan Melaka selepas pengumuman pembubaran Parlimen dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam dimana Parlimen dengan rasminya dibubarkan hari ini.

Tambah beliau, selepas menerima semua notis pembubaran daripada negeri-negeri di negara ini, maka SPR akan menetapkan tarikh bagi mesyuarat notis pilihan raya, penamaan calon dan tarikh pengundian.

Dalam pada itu, Mohd Hashim berkata, statistik terkini pengundi adalah pada tahap 14, 940, 627 pengundi sehingga April tahun ini.

Bagi PRU-14 kali ini, sejumlah 259, 391 kakitangan SPR digerakkan bagi memantau perjalanan 8,898 pusat mengundi dan 28, 995 saluran mengundi di seluruh negara.

Ditanya mengenai permohonan undi pos, Mohd Hashim berkata, semua permohonan daripada luar negara akan ditutup hari ini  dan tidak akan diproses sekiranya masih terdapat permohonan daripada pengundi luar negara.

“Sehingga 6 April ini, jumlah permohonan undi pos yang diterima adalah 4,916 permohonan luar negara melibatkan 1,183 daripada negara United Kingdom, 1,043 daripada Australia, 367 daripada Amerika Syarikat, 217 daripada Taiwan dan 202 daripada China.

Permohonan undi dalam negara pula adalah pada tahap 39, 775 yang terdiri daripada sembilan agensi di seluruh negara. -MalaysiaGazette