Pesawat Airbus A380 milik Singapore Airlines.

KUALA LUMPUR – Singapore Airlines dinobatkan sebagai syarikat penerbangan terbaik di dunia bagi Anugerah Pilihan Penggembara oleh laman sesawang TripAdvisor.

Qatar Airways pula diiktiraf sebagai pesawat kelas perniagaan terbaik dunia manakala Air New Zealand pula mendapat kedudukan tertinggi bagi kelas ekonomi premium.

Anugerah itu diberikan berdasarkan penarafan dan ulasan-ulasan daripada pengguna seluruh dunia dalam tempoh 12 bulan.

Dalam kenyataannya, TripAdvisor berkata, Singapore Airlines juga dianugerahkan sebagai pesawat kelas pertama dan ekonomi terbaik dunia.

Selain Singapore Airlines, 10 syarikat penerbangan terbaik dunia ialah Air New Zealand, Emirates, Japan Airlines, EVA Air, Southwest Airlines, Jet2.com, Qatar Airways, Azul, dan Korean Air.

Ketua Pengarah TripAdvisor, Bryan Saltzburg berkata, Anugerah Pilihan Pengembara mengiktiraf syarikat penerbangan yang melepasi jangkauan dan menerima maklum balas terbaik daripada pengembara.

“Memandangkan industri penerbangan memperkenalkan produk tambang baru dan pelbagai penawaran dalam penerbangan, pengguna terus mencari syarikat penerbangan yang memberi nilai dan pengalaman berkualiti,” katanya. – MalaysiaGazette