KUALA LUMPUR – Selepas 20 tahun dilancarkan, projek Lembah Silikon Malaysia, Cyberjaya dianggap gagal memenuhi matlamatnya.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Kajian IDEAS Malaysia, Ali Salman, projek tersebut sebenarnya mempunyai misi yang tidak jelas.

“Selepas 20 tahun dan berbilion dolar dihabiskan pengkritik melihat cadangan untuk menjadikan Cyberjaya sebagai Lembah Silikon tempatan tersasar dari wawasannya.

“Daripada 85,000 penduduknya, satu pertiga adalah pelajar.

“Memang ada syarikat multinasional (MNC) di situ tetapi kebanyakannya hanya menggunakan ruang-ruang yang diberi diskaun untuk dijadikan pusat panggilan dan sokongan pelanggan.

“Cyberjaya tidak menjadi sebuah hab kepada penemuan-penemuan terbaharu dan sekarang entah berapa kerat yang masih mempercayai bahawa ia mempunyai potensi untuk meletakkan Malaysia di peta dunia dalam bidang inovasi komunikasi dan teknologi maklumat,” katanya dalam satu artikel bertajuk Cyberjaya: Kegagalan Pelan Berpusat Lembah Silikon yang dijanjikan Malaysia.

Katanya, terdapat beberapa cabaran yang patut dijadikan pengajaran daripada kegagalan projek tersebut antaranya persaingan sengit daripada hab-hab tempatan dan serantau, kekurangan bakat terutamanya dari aplikasi teknologi tinggi, kekurangan infrastruktur insani seperti perbandaran yang hidup selain prasarana awam yang perlu dinaik taraf, kekurangan dana, ekosistem dan hubungan teruk di antara kajian dan perniagaan, kekurangan perpindahan teknologi daripada MNC kepada rakan sejawat tempatannya, kurangnya sokongan kepada PKS, lemah urustadbir dan konflik kepentingan.

Jelas Ali, bandar-bandar seperti Lembah Silikon bukan dicipta tetapi perlu dipupuk.

Pembangunan berpusat jarang berjaya dan tidak mungkin berjaya dalam jangka masa panjang walaupun Malaysia merupakan salah sebuah daripada 15 negara paling berdaya saing di dunia, katanya.

Pada 1997, sebuah kawasan berkeluasan 2,800 hektar yang terletak kira-kira 40 kilometer daripada Kuala Lumpur dilancarkan dan diberi nama Cyberjaya.

Ia terletak bersebelahan dengan sebuah lagi bandar ciptaan, Putrajaya, yang berfungsi sebagai sebuah pusat pentadbiran kerajaan.

Cyberjaya direka untuk menjadi satu zon di mana para uahawan teknologi dan syarikat MNC global dapat menikmati pelbagai insentif pelepasan cukai dan mendapat akses kepada modal insan dan infrastruktur bertaraf dunia.

Ia merupakan sebuah projek bercita-cita tinggi yang akan memacu transformasi Malaysia kepada sebuah ekonomi berpaksikan pengetahuan baharu.

Antara insentif yang diberikan adalah kadar sewa yang kompetitif, skim pembayaran semula anjal, elaun bangunan dan penyelesaian bersesuaian mengikut keperluan, bajet dan pelan pertumbuhan pelabur.

Di atas kertas, ia memang mampu untuk menarik gergasi-gergasi dunia, katanya. -MalaysiaGazette