Home Nasional Dalang penipuan pelaburan kucing masih bebas

Dalang penipuan pelaburan kucing masih bebas

Hishamuddin menyerahkan surat memohon maklum balas supaya mengambil tindakan dan pendakwaan terhadap individu terbabit kepada wakil pihak polis di Ibu Pejabat Kontinjen Johor hari ini.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bimbang penipuan skim pelaburan kucing masih aktif berikutan individu dipercayai dalang utama masih bebas dan belum didakwa hingga hari ini.

Lelaki berusia 50an itu pernah direman awal tahun lalu berhubung 35 laporan polis di seluruh negara berkaitan penipuan membabitkan kerugian lebih RM1.56 juta.

Pengerusi Biro Undang-undang PPIM, Datuk Hishamuddin Hashim serta wakil pengadu hari ini tampil menyerahkan surat memohon maklum balas supaya tindakan dan pendakwaan terhadap individu terbabit kepada Ibu Pejabat Kontinjen Johor.

Hishamuddin yang juga peguam mewakili pengadu berkata, tiada pertuduhan terhadap dalang kegiatan berkenaan, bagaimanapun hanya seorang pengurus didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Katanya, kebanyakkan pengadu tidak berpuas hati kerana tidak ada maklum balas daripada pegawai penyiasat berkaitan aduan mereka.

“Jika maklumat tidak lengkap, pengadu sedia membantu untuk menyalurkan bukti serta memperkukuhkan kes bagi tujuan pendakwaan.

“Sekiranya dalang tidak ditemui, mereka sedia membantu untuk memberikan maklumat lokasi individu berkenaan, mereka tidak mahu kes dipinggirkan sehingga tiada tindakan dan penipuan berleluasa,” katanya.

Pada Januari lalu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman menyerbu sebuah kedai haiwan peliharaan itu yang turut mempunyai cawangan di Setapak, Kuala Lumpur dan Bandar Baru Uda, Johor Bahru, turut diserbu polis secara serentak dalam Ops Meow.

Modus operandi skim berkenaan adalah menawarkan baka kucing import pada harga RM10,000 hingga RM30,000 kepada mangsa.

Mangsa dijanjikan pulangan lumayan sebanyak RM40,000 hingga RM50,000 setahun selepas kucing-kucing ini melahirkan anak, dan anak kucing ini akan dijual.

Susulan pendedahan PPIM, pengurus syarikat berkenaan didakwa Mac lalu di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan memperdaya pelanggan berhubung pelaburan kucing baka ‘maine coon’ yang tidak wujud membabitkan kerugian RM240,400. – MalaysiaGazette