Home Politik Pas pilih bekas kapten Kedah cabar Mahfuz

Pas pilih bekas kapten Kedah cabar Mahfuz

ALOR SETAR – Legenda bola sepak Kedah, Radhi Mat Din diumum sebagai calon muka baharu Pas bagi kerusi Parlimen Pokok Sena pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan nama bekas pemain bola sepak kebangsaan berusia 53 tahun itu pada ceramah Gelombang Hijau PRU14 di Markas Pas Cawangan Alor Ibus, di Alor Setar malam tadi.

Radhi dijangka menentang Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Datuk Mahfuz Omar, yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Pokok Sena.

Mahfuz, bekas Naib Presiden Pas, meninggalkan parti itu pada 31 Disember 2017 lepas setelah 34 tahun bersama Pas.

Abdul Hadi turut mengumumkan seorang lagi muka baharu, seorang ahli farmasi Muhamad Riduan Mohd Othman, 43, sebagai calon kerusi Parlimen Kuala Kedah yang disandang Pengerusi PKR Kedah Dr Azman Ismail.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Kedah Dr Ahmad Fakhrudin Sheikh Fakhrurrazi, 47, diumum sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kundur yang disandang Datuk Phahrolrazi Zawawi dari PAN. – MalaysiaGazette