Kelihatan bendera dari pelbagai parti menghiasi jalan raya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Gombak, Selangor. foto IQBAL BASRI, 14 APRIL 2018.

PETALING JAYA – PKR telah menyenaraikan belasan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang dianggap berisiko tinggi dan mungkin dirampas Barisan Nasional (BN) daripada pembangkang.

Ketua Informasi Pilihan Raya PKR, Chan Ming Kai berkata, lapan kerusi milik PKR yang berisiko ialah Kuang, Kota Damansara, Semenyih, Sementa, Bukit Melawati, Ijok, Batu Tiga, dan Kota Andalas.

Katanya, DAP pula berdepan risiko di Sungai Pelek dan Kuala Kubu Baru.

Amanah atau PAN pula dijangkakan berdepan cabaran di Seri Serdang, Cempaka dan Taman Templer.

Berkenaan Pas yang bukan anggota Pakatan Harapan, Ming Kai berkata, parti itu berdepan masalah di semua kerusi melainkan Sungai Ramal (Bangi).

Analisis Pakatan Harapan secara keseluruhannya menjangkakan bahawa pakatan pembangkang itu akan kehilangan 10 daripada 42 kerusi DUN yang dimenangi.

Daripada 10 kerusi itu, lapan akan dirampas UMNO dan dua oleh MCA. – MalaysiaGazette