Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Presiden, Timbalan dan Setiausaha Agung Pas hanya akan bertanding di kerusi parlimen sahaja, kata Datuk Takiyuddin Hassan.

“Untuk makluman Presiden dan Timbalan Presiden Pas akan bertanding di parlimen sahaja. Termasuk saya sendiri Setiausaha Agung Pas,” katanya ketika sidang media parti itu hari ini. 

Takiyuddin menambah Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Pesuruhjaya Pas Pahang tidak akan bertanding di negeri itu. 

Difahamkan, Tuan Ibrahim akan bertanding di Kelantan.

Manakala Takiyuddin sendiri memberitahu akan mempertahankan kerusi Parlimen Kota Bharu. 

“Beliau tidak bertanding di Pahang ini gambaran sikit, ya, saya akan pertahankan,” ujarnya. 

Takiyuddin sebelum itu menjelaskan Pas akan mengumumkan calon-calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada esok kecuali di Kelantan. 

Jelasnya, Kelantan meminta penangguhan sehingga 25 April untuk memperkemaskan senarai calon mereka manakala Sabah akan membuat pebgumuman pada 22 dan Sarawak pada 21 April oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di sana kelak. 

“Senarai yan kita berikan akan diberikan kepada pesuruh jaya pas negeri kecuali Pahang Tuan Ibrahim akan umumkan calon,” katanya lagi.-MalaysiaGazette