Home Ekonomi AIIB berminat biayai infrastruktur negara

AIIB berminat biayai infrastruktur negara

KUALA LUMPUR – Asian Infrastructure Investment Bank (AIIB) yang berpejabat di Beijing, berminat membiayai projek infrastruktur utama di Malaysia, termasuk Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), kata Setiausaha Kedua Kedutaan China di sini, Dr Fang Tao.

Beliau berkata Presiden AIIB, Jin Liqun, bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada acara Bank Negara Malaysia baru-baru ini, dan telah menyuarakan minatnya untuk bekerjasama membiayai projek infrastruktur dalam negara.

Setakat ini, kehadiran AIIB di Malaysia belum ketara lagi, katanya.

“Sebelum melawat Malaysia, beliau Jin Liqun) mungkin tidak mempunyai pengetahuan mendalam mengenai negara ini. Hanya selepas lawatan itu, beliau menyedari bahawa inilah pasaran yang AIIB belum memberi keutamaan.

“Kedutaan akan menjalin hubungan rapat dengan AIIB bagi membincangkan bagaimana bank itu dapat meneruskan dan menyediakan perkhidmatan kewangan kepada syarikat Malaysia atau membiayai projek infrastruktur utama di Malaysia,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Rangkaian Bekalan Persaatuan Pekilang-Pekilang Malaysia 2018, di sini.

Mengenai sama ada AIIB akan membiayai projek HSR jika pemaju perojek dari negara lain seperti Korea Selatan atau Jepun memenangi tender projek itu, beliau berkata: ?Saya yakin AIIB merupakan organisasi antarabangsa yang hanya berpangkalan di Beijing, namun bukan dimiliki China.

“Saya percaya penyelesaian (pembiayaan projek) adalah terbuka,” katanya.

Beliau berkata tidak ada had dari segi jenis projek yang akan dibiayai AIIB, memandangkan bank juga boleh meminjamkan wang kepada projek selain daripada Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) yang dibangunkan di Malaysia.

Mengenai salah faham bahawa BRI telah mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih tegar di Malaysia, Fang berkata pelaburan langsung asing dari China membawa lebih banyak kelebihan kepada Malaysia kerana mereka membantu merangsang pertumbuhan ekonomi dan mata pencarian kepada negara.

Sebagai contoh, beliau berkata bagi projek Landasan Kereta Api Pantai Timur, sekurang-kurangnya 30-40 peratus kontraknya diberikan kepada kontraktor tempatan.

Mengenai pengambilan pekerja, beliau berkata kebanyakan syarikat China di Malaysia mengupah antara 80-90 peratus pekerja tempatan.

“Kami menggalakkan syarikat-syarikat China memanfaatkan kemudahan tempatan sebanyak mungkin, namun kami tidak mempunyai angka tertentu (peratusan) kerana kami tidak boleh memaksa mereka melakukannya.

“Namun, saya percaya kebanyakan syarikat China di Malaysia telah melakukan yang terbaik, kecuali mereka tidak dapat mencari bahan atau pekerja mahir,” katanya. – MalaysiaGazette