Pengerusi Barisan Nasional Bandar Tun Razak merangkap Ketua MCA Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Chew Yin Keen (tengah) menjulang tangan bersama para penyokong jentera BN BTR tanda sokongan selepas mengadakan sidang media mengenai bantahan terhadap pemilihan calon Barisan Nasional Bandar Tun Razak di Pusat Pendidikan BTR, Cheras, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 19 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Nampaknya konflik Barisan Nasional (BN) di Bandar Tun Razak (BTR) belum selesai.

Malam tadi MCA Bahagian Bandar Tun Razak pula mahukan kawasan Parlimen itu dalam PRU-14 dan bersedia berjuang ‘bermati-matian’ bagi terus mempertahankan kerusi tradisinya itu.

Malah mereka mendakwa yakin akan menang besar, kata pengerusinya, Datuk Chew Yin Keen sambil meluahkan rasa kecewa apabila kerusi itu diberikan kepada UMNO kali ini.

Yin Keen yang juga merupakan Pengerusi Barisan Nasional BTR Razak berkata, adalah adil dan ‘bermaruah’ sekiranya kerusi  yang menjadi milik MCA sejak dulu lagi terus dipertahankan.

“Dalam mesyuarat tergempar sebentar tadi antara Bahagian MCA BTR dengan sayap Pemuda dan Wanita MCA sebulat suara membuat keputusan untuk terus mempertahankan kerusi tradisi kami.

“Malah nama saya juga telah dicadangkan sebagai calon boleh menang bagi kerusi parlimen ini. Bagaimanapun, saya akan biarkan kepimpinan tertinggi BN dan MCA untuk membuat keputusan muktamad.

“Kami hanya di peringkat akar umbi, yang buat keputusan adalah pemimpin tertinggi. Mereka jauh lebih arif dalam memilih calon boleh menang,” katanya dalam sidang media sebentar tadi.

Difahamkan, kekalahan MCA kepada PKR pada pilihan raya umum lalu telah menyebabkan UMNO mahu diberikan peluang kepada parti lebih dominan untuk menggantikan tempat MCA bagi kemenangan besar pada PRU-14.

Pengerusi Barisan Nasional Bandar Tun Razak merangkap Ketua MCA Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Chew Yin Keen bercakap pada sidang media mengenai bantahan terhadap pemilihan calon Barisan Nasional Bandar Tun Razak di Pusat Pendidikan BTR, Cheras, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 19 APRIL 2018

Populasi pengundi Melayu merangkumi 60 peratus disusuli 29 peratus dan India sebanyak 8 peratus, selebihnya kaum-kaum lain.

Yin Keen dalam masa sama menggesa kepimpinan tertinggi MCA termasuk presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai untuk terus berusaha mempertahankan kerusi itu.

“Saya ada bercakap dengan beliau (Tiong Lai). Beliau ada memberitahu saya bahawa sehingga kini belum ada apa-apa percakapan atau perbincangan tentang pertukaran kerusi MCA dan UMNO.

“Jika ada, saya akan dimaklumkan tentang perkara ini dalam masa beberapa hari ini, buat masa ini belum ada apa-apa berita.

“BTR adalah kerusi tradisional MCA dan ia telah berada di MCA selama bertahun-tahun, begitu juga dengan Wangsa Maju. Tidak ada kompromi di pihak kami. Ini pendirian kami,” tegasnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya tentang ura-ura berkemungkinan besar Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mungkin menjadi calon bagi kerusi Parlimen Bandar Tun Razak, Yin Keen tidak tahu menahu mengenainya.

“Jika anda mahu tahu, tanya Tan Sri Shahrizat sendiri. Kita tidak tahu apa-apa. Tidak setahu saya, saya tidak bercakap pun dengan beliau apatah lagi mengetahui beliau adalah calon,” ujarnya.- MalaysiaGazette

Peguam muda calon BN Parlimen BTR?