Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan
Mohamad Hasan

SEREMBAN – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau belum menerima senarai calon yang telah dimuktamadkan.

“Setakat ini saya masih belum mendapat senarai calon yang muktamad?kelak saya akan dapatkan senarai calon bersama dengan kertas tauliah kerana setiap calon perlu mempunyai tauliah dari ibu pejabat parti.

“Ia perlu ditandatangani oleh Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Setiausaha Agung (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor). Saya jangkakan dalam minggu depan saya akan dapat kertas tauliah tersebut dari ibu pejabat nanti,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Penduduk Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Sendayan yang turut dihadiri Pengarah Operasi Pilihan Raya Parlimen Rembau Datuk Azman Hasan, di sini.

Bagaimanapun, Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan tidak mendedahkan tarikh sebenar bagi pengumuman calon BN.

Semalam, Timbalan Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata BN negeri-negeri akan mengumumkan senarai calon yang akan bertanding bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri masing-masing pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), bila-bila masa dari sekarang.

Ahmad Zahid berkata Perdana Menteri selaku Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi kuasa kepada semua pengerusi BN negeri untuk mengumumkan calon masing-masing.

Sementara itu, Mohamad yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau menafikan kononnya beliau akan beralih angin bertanding di Parlimen Rembau pada PRU14, 9 Mei ini.

Sebaliknya, akan terus kekal bertanding di DUN Rantau yang disandangnya tiga penggal lalu sejak 2004.

“Saya berharap agar semua pengundi di DUN Rantau akan bekerjasama dengan saya supaya DUN dalam Parlimen Rembau iaitu Rantau, Paroi, Chembong dan Kota akan dapat menambah majoriti pada PRU14.”

“Bagi Parlimen Rembau, dahulu kita dapat menambah majoriti daripada 5,000 kepada 18,000 undi untuk Parlimen Rembau, sekarang ini matlamat kita adalah di Parlimen Rembau kerana kita nak tingkatkan majoriti kita kepada tidak kurang daripada 25,000 dan oleh itu semua jentera parti perlulah kerja keras untuk mencapai sasaran ini,” katanya.

Pada PRU13, Mohamad menang dengan majoriti 4,613 undi menewaskan Aisah Lamsah daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

— BERNAMA