Home Nasional Johari ditentang calon Pas, PPBM

Johari ditentang calon Pas, PPBM

Johari Abdul Ghani (kanan) bergambar bersama-sama pesaingnya, Mohammad Nor Mohammad dan Rina Harun.

KUALA LUMPUR – Parlimen Titiwangsa menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya umum ke-14 pada 9 Mei nanti.

Menteri Kewangan Kedua yang juga anak jati Kampung Pandan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada 2013.

Beliau yang tiba di Pusat Penamaan Calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, dekat Kampung Pandan tepat jam 9 pagi tadi akan ditentang calon Pas, Mohammad Nor Mohammad.

Dalam pada itu, Ketua Srikandi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Rina Harun tetap meneruskan perancangan partinya untuk mewakili Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kali ini walaupun dikatakan tidak mendapat sokongan akar umbi.

Beliau yang menyertai PPBM sejak Februari tahun lepas merupakan bekas Ketua Bahagian Puteri UMNO Sepang.

Bekas ahli jawatankuasa Umno Titiwangsa yang kini bersama PPBM, Muhammad Salleh Hashim tidak hadir untuk menghantar borang pencalonnya.

Muhammad Salleh sebelum ini membuat kenyataan akan bertanding sebagai calon bebas sekiranya PH tidak menukar calon mereka.

Pengundi Parlimen Titiwangsa merangkumi kira-kira 70 peratus Melayu, 20 peratus Cina dan 10 peratus India.

Pada pilihan raya umum ke 13 yang lalu, Joharitelah menewaskan calon PAS, Ahmad Zamri As’ad Khuzaimi dengan majoriti 866 undi.-MalaysiaGazette