Home Nasional Jebat kebanggaan UPM

Jebat kebanggaan UPM

Anton Ongko Wiharto (kiri) menerangkan sesuatu mengenai fungsi Kereta Jebat kepada pengunjung yang hadir pada Program Jerayawara Mobiliti Terhubung di MAEPS, Serdang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 26 APRIL 2018.

SERDANG – Semangat juang Putra Motorsports Team (PMT) tidak pernah rapuh walaupun pernah kecundang ketika mewakili negara pada Student Formula Japan (SFJ) pada tahun 2016.

Sebaliknya  pasukan yang terdiri daripada enam orang mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) ini berbangga apabila berjaya mencuri hati juri ketika sesi penilaian, sekaligus mara ke pusingan seterusnya walaupun pertama kali menyertai kejohanan itu pada tahun tersebut.

Tahun ini, peluang datang lagi buat mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Mekanikal itu apabila mereka akan menggalas amanah besar demi menaikan nama Malaysia setanding dengan negara lain di SFJ 2018.

Percubaan kali kedua oleh PMT bagi merebut gelaran di Jepun itu bakal berlangsung pada 4 hingga 8 September 2018.

Wakil PMT, Anton Ongko wiharto berkata, SFJ merupakan perlumbaan anjuran Kesatuan Jurutera Automotif Jepun (JSAE)  untuk memupuk dan meluaskan lagi penguasaan skil teknikal khususnya dalam kalangan pelajar universiti di dalam bidang automotif.

Jelas beliau, menerusi peraturan dan had regulasi tertentu, setiap pasukan dikehendaki menghasilkan jentera sendiri dan setiap pasukan wajib melaporkan dengan terperinci kos pembangunan dan pembikinan yang telah dilaburkan.

“Markah penilaian akan diberikan berdasarkan persembahan laporan yang baik serta perincian setiap bajet yang telah dilaburkan. Pasukan yang telah melepasi pusingan ini layak menyertai pusingan seterusnya yang dinamakan Acara Dinamik.

“Tahun 2016 menyaksikan PMT merupakan satu-satunya wakil dari Malaysia yang layak mara ke pusingan Dynamic Event walaupun ia merupakan percubaan pertama di SFJ,” kata mahasiswa tahun ketiga kelahiran Jakarta di Indonesia itu.

Anton berkata, PMT kini sedang mencari penaja untuk menyertai SFJ berjumlah RM150,000 dalam usaha merealisasi impian ahli yang kini seramai 17 orang.

Sementara seorang lagi ahli PMT, Nur Fitriana Ma’ruf,memberitahu, tahun 2018 menyaksikan persaingan sengit di SFJ apabila mencatatkan penyertaan seramai hampir 100 pasukan dari seluruh dunia.

Tambah beliau, pihak PMT menyasarkan beberapa anugerah termasuklah Rekaan Terbaik dan Anugerah Pasukan Terbaik menggunakan jentera yang digelar Jebat.

“Jebat ini menggunakan enjin empat silinder berkuasa 600cc yang diperoleh daripada motorsikal Suzuki GSX-600R K5. Kuasa yang dihasilkan ini sebanyak 30hp disalurkan ke roda belakang.

“Beratnya keseluruhan jentera Jebat ini adalah 390 kilogram dan keistimewaannya apabila penggunaan polimer gentian kaca diperkukuh (GFRP) dihasilkan secara in-house berdasarkan kajian ahli PMT sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette