Calon Parti Pakatan Harapan P.005 Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir beramah mesra bersama calon dari pelbagai parti pada Penamaan Calon P.005 Jerlun di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu, Kedah. foto IQBAL BASRI, 28 APRIL 2018

KODIANG – Datuk Seri Mukhriz Mahathir  tidak menganggap faktor bukan anak tempatan menjadi penghalang untuknya merampas kerusi Parlimen Jerlun daripada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Othman Aziz.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah itu berkata, faktor anak tempatan bukan penentu kemenangan.

Malah sebelum ini beliau pernah memenangi kerusi tersebut atas tiket BN semasa pilihan raya umum 2008 lalu.

“Pertamanya, calon tak semestinya orang tempatan, saya sendiri dianggap calon luar walaupun saya dari Kubang Pasu daerah yang sama, Parlimen yang berbeza. 

“Waktu saya bertanding dulu pun masih boleh menang lagi. Bila saya pindah ke Ayer Hitam pun macam tu jugak,” kata beliau semasa ditemui ketika melawat pasar pagi hari ini.

Mukhriz  yakin pengundi akan menilai seseorang calon itu berdasarkan rekod prestasinya semasa menjadi Menteri Besar sebelum ini dan itu adalah tawaran beliau kepada pengundi di Jerlun.

“Tawaran yang kita berikan ialah melalui track record saya sendiri,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata sekiranya PH diberikan mandat untuk memerintah negeri selepas PRU-14, program dan perancangan yang tertangguh sebelum ini semasa beliau menjadi Menteri Besar Kedah akan diteruskan.

“Antara lain keperluan rakyat di sini ialah rumah, masalah kekurangan rumah ni serius. 

“Jadi, kita ada projek untuk bina rumah mampu milik. Projek tu berjalan, tergendala sikit sebab kerajaan tak berapa nak menyokong saya lagi dah. Tapi saya yakin apa yang saya janjikan dulu dapat ditunaikan melalui kerajaan PH,” ujarnya lagi.

Parlimen Jerlun menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mukhriz, Othman (penyandang) dan calon, Pas, Abdul Ghani Pas. – MalaysiaGazette