KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Institut Strategik dan Kepimpinan Asia (ASLI), Tan Sri Michael Yeoh, yang berjaya meramalkan keputusan Pilihan Raya 2013 secara tepat, kini menjangka kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) sekali lagi pada 9 Mei ini.
Michael pernah meramalkan bahawa BN akan memperoleh antara 123 hingga 135 kerusi Parlimen pada 2013, dan ia terbukti tepat apabila BN menang 133 kerusi dan terus mentadbir negara ini.
Untuk Pilihan Raya 2018 pula, Michael meramalkan BN mampu memenangi 120 hingga 135 daripada 222 kerusi yang dipertandingkan.
Michael turut menjangkakan bahawa pertarungan paling sengit akan mengambil tempat di Kedah, Kelantan, Johor dan Sabah.
Di Johor, BN akan kekal berkuasa malahan berpeluang untuk menang di Kelantan.
Pembangkang pula mampu mempertahankan Pulau Pinang dan Selangor, selain mempunyai peluang untuk merampas Kedah.
“Selain negeri-negeri tersebut, Kuala Lumpur juga dijangka menyaksikan persaingan sengit,” kata Michael kepada Nanyang Siang Pau.
Bagi semua negeri yang ada, Michael paling tertarik kepada Kelantan kerana selain BN, Pas juga berdepan serangan daripada Pakatan Harapan.
Katanya, kaji selidik oleh ASLI mendapati bahawa jentera BN pimpinan Datuk Seri Mustapa Mohamed berpotensi untuk menawan Kelantan.
Keadaan itu, menurut Yeoh, juga disumbangkan oleh perpecahan Pas yang membawa kepada kelahiran Amanah. – MalaysiaGazette
















