Tan Sri Dzulkifli Ahmad
Dzulkifli Ahmad bercakap pada sidang media khas di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 22 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad mengingatkan pengundi dan rakyat Malaysia agar tidak terlibat dalam gejala rasuah menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) esok.

Ujarnya, mengundi adalah tanggungjawab rakyat negara ini dan gejala rasuah harus ditolak ketepi kerana ia boleh menggugat kedaulatan dan kestabilan negara.

“Seperti yang diketahui umum, pilihan raya umum hanya berlangsung setiap lima tahun dan ia merupakan tanggungjawab kita sebagai warga Malaysia untuk mengundi demi kepentingan dan masa depan negara.

“Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan rakyat Malaysia supaya menjauhkan diri daripada gejala rasuah dan salah guna ketika berlangsungnya pilihan raya bagi memastikan proses pengundian berjalan dengan adil dan bersih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sejumlah 14,940,624 rakyat Malaysia layak untuk mengundi kali ini manakala pengundi awal adalah pada tahap 300,255 orang dan pengundi luar negara pada jumlah 3,653 orang.

Pilihanraya umum kali ini membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

PRU-14 kebanyakannya menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Pas. -MalaysiaGazette