Khairuddin Abu Hassan. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 5 JUN 2015.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli sepatutnya menggunakan saluran dalaman parti dan meluahkan pandangannya secara tertutup.

Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mencurigai motif Rafizi menimbulkan isu pelantikan menteri kanan secara terbuka kerana ia boleh ‘membinasakan’ keyakinan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH).

“Apakah Rafizi sengaja hendak jahanamkan struktur perpaduan PH? Adakah Rafizi hendak bagi rakyat hilang keyakinan pada PH?

“Tolonglah jangan lakukan sesuatu tindakan yang boleh merugikan kita semua,” kata Khairuddin dalam kenyataan hari ini.

Justeru Khairuddin meminta Rafizi menghentikan sikap buruk suka bercakap mengenai dasar, keputusan serta pendirian PH kepada media demi menjaga imej perpaduan PH.

Justeru, Khairuddin mahu kepimpinan tertinggi PH harus ambil tindakan disiplin ke atas sesiapa sahaja yang suka menegur tanpa guna saluran dalaman yang betul tetapi lebih gemar menggunakan platform media.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu sidang media menamakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri dan Presiden PAN, Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan.

Selepas itu, Rafizi dalam kenyataan di media sosial menganggap pelantikan itu belum sahih kerana tidak mendapat persetujuan pucuk pimpinan PKR.

Menurut Rafizi, satu perbincangan berlangsung antara Mahathir dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia di Cheras selepas sidang media diadakan.

Bagaimanapun, ada laporan menyatakan Mohamad Sabu tampil mempertahankan keputusan Mahathir, mengatakan ia sudah dibincangkan di mesyuarat presiden PH dan kata putus pelantikan menteri adalah prerogatif Perdana Menteri.- MalaysiaGazette

Pengumuman Kabinet belum muktamad – Rafizi