Mohamed Apandi Ali
Mohamed Apandi Ali

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali sudah diarahkan untuk bercuti dari tugasnya sementara menunggu siasatan terhadapnya selesai.

Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, tugas-tugas Apandi akan diambil alih oleh Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek yang turut mempunyai kuasa untuk terlibat dalam jawatankuasa pengampunan.

“Kedudukan Peguam Negara ini sukar sedikit kerana dia baru sahaja diberikan kontrak baru.

“Kita perlu ikut undang-undang, soal penggantungannya perlu beberapa tindakan dan disebabkan itu Apandi hanya diberikan cuti,” katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana (YPK), hari ini.

Malah, Mahathir berkata, kerajaan hanya boleh bertindak terhadap Apandi sekiranya terdapat laporan dibuat terhadapnya dalam masa terdekat.

“Perlu buat laporan polis sebelum siasatan boleh dilakukan, setakat ini belum ada laporan bertulis lagi.

“Walaupun ada tuduhan tetapi belum ada laporan. Jika ada laporan, barulah siasatan boleh dijalankan, tindakan boleh diambil untuk menyekat tugas peguam negara,” katanya di hadapan lebih 50 pengamal media dan wartawan yang berkampung di YKP sejak pagi tadi.

Apandi hari ini memulakan tugasnya seperti biasa kerana hadir di Jabatan Peguam Negara kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Mahathir sebelum ini memaklumkan bahawa Malaysia tidak mempunyai Peguam Negara setakat ini. – MalaysiaGazette