Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali bertindak melepaskan jawatannya berkuatkuasa semalam.

Menurut Naib Presiden Perkasa, Datuk Ruhanie Ahmad, Ibrahim Ali bertindak memberikan surat perletakan jawatan beliau pada awal pagi Selasa.

Malah Ruhanie menolak tindakan Ibrahim itu ada berkaitan dengan pertukaran kerajaan pada 9 Mei lalu.

“Kita masih merayu dan bertemu dengan beliau dan Ahli Dewan Tertinggi (ADT) sudah bermesyuarat bahawa penolakan ini tidak diterima.

“Sementara kita beri peluang beliau bertenang dan memikirkan semula rayuan kita supaya kembali memimpin Perkasa, sebab pertubuhan ini sangat sinonim dengan Ibrahim Ali, kita sangat menghargai komitmen, dedikasi dan perjuangan beliau,” katanya di ibu pejabat Perkasa hari ini.

Naib Presiden PERKASA, Datuk Ruhanie Ahmad bercakap pada sidang media mengenai perletakan jawatan Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali di Pejabat PERKASA, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 16 MEI 2018

Dalam mesyuarat yang diadakan semalam, Perkasa bersetuju untuk melantik Ruhanie memangku jawatan presiden buat sementara waktu.

Malah Datuk Yunus Long akan memangku jawatan Naib Presiden berkuat kuasa serta merta.

Dalam pada itu, Ruhanie berkata, Ibrahim kecewa dengan penolakan perjuangan terhadap orang Melayu yang menjadi wadah beliau selama ini.

“Tidak, bukan melobi jawatan. (Peletakan) ini berdasarkan kepada kekecewaan dia, orang Melayu tak hargai perjuangan Alif Ba Ta,” katanya lagi.

Ibrahim pada September 2008 membentuk Perkasa yang berjuang untuk melindungi hak-hak orang Melayu daripada bukan Melayu. – MalaysiaGazette