Mesyuarat antara Pasukan Petugas Khas 1MDB bersama wakil DOJ dan FBI di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Pihak Jabatan Keadilan (DOJ) dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) hari ini bersetuju untuk bekerjasama penuh dengan kerajaan bagi menyiasat kes skandal 1MDB.

Malah DOJ dan FBI juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang baharu, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memungkin proses berkenaan dilakukan.

Ini kerana kerajaan sebelum ini didakwa tidak melakukan sebarang tindakan, kata kenyataan media Pasukan Petugas Khas 1MDB hari ini.

Pada pertemuan agensi AS yang diadakan di Kompleks Pejabat Perdana Menteri itu mereka membincangkan hala tuju dan fokus siasatan 1MDB.

Ia termasuk juga proses membawa semula aset-aset yang dibekukan di AS sebelum ini.

“Antara isu yang dibangkitkan ialah permohonan pihak FBI yang telah menghantar surat permohonan bertarikh 13 November 2016 kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad ketika itu tetapi permohonan tidak mendapat maklum balas sehingga hari ini.

“Pihak DOJ juga mengesahkan ada membuat permohonan melalui Mutual Legal Assitance kepada Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali pada 22 September 2017. Bagaimanapun permohonan ini tidak dipenuhi dan ditangguhkan atas alasan ia akan menggangu siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa di Malaysia.

“Oleh itu tiada kerjasama diberikan sehingga hari ini,” kata kenyataan yang sama.- MalaysiaGazette