Dr. Wan Azizah dan Anwar bersama dua anaknya menaiki jet kerajaan untuk memenuhi jemputan Istana Kelantan, malam tadi.
Dr. Wan Azizah dan Anwar bersama dua anaknya menaiki jet kerajaan untuk memenuhi jemputan Istana Kelantan, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Netizen tidak setuju Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail membawa suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dua anaknya menaiki jet kerajaan untuk memenuhi jemputan Istana Kelantan, malam tadi.

Mereka menganggap tindakan itu bertentangan dengan perjuangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi pembangkang sebelum ini yang lantang menegur bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membawa isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor untuk urusan rasmi kerajaan.

Netizen Ahmad Muslim Badawi menerusi komennya memberitahu, tidak ada masalah Dr. Wan Azizah menggunakan kemudahan kerajaan memandangkan kedudukannya sebagai ketua kerajaan.

“Cuma aku nak tegur sikit.. kurang cermat untuk memuat naik gambar di media sosial, apa lagi membawa dua anak yang bukan sebahagian dari delegasi kerajaan bergambar dalam jet kerajaan.

“Jangan rosakkan wajah dan nilai integriti kerajaan Pakatan Harapan, Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) pun tidak pernah selfie macam tu. Jadi berhati-hati,” katanya.

Dia turut mengingatkan Presiden PKR itu agar kurangkan melayan kehendak istana dengan menggunakan kemudahan kerajaan, melainkan melayan kehendak rakyat, iaitu sesuai dengan tugasan pemimpin PH ialah melayan kehendak dan keperluan rakyat.

“Ingat sumpah reformasi dulu… Ingat! apa makna Islah,” ujar Ahmad Muslim.

Seorang lagi netizen, Nadzir Ibnu Helmi mempersoalkan siapa yang ada urusan rasmi di Istana Kelantan sebenarnya?

“Timbalan Perdana Menteri atau suami Timbalan Perdana Menteri?” soal beliau.

Katanya, jika Anwar boleh iringi Dr Wan Azizah atas tiket suami dengan menaiki jet kerajaan, maka tidak salahlah Rosmah dan anak tirinya, Riza Aziz mengikuti Najib naik jet kerajaan.

“Habis apa yang kita (PH) lawan selama ini?” tanyanya.

Dia berkata, sama ada jet kerajaan atau jet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), kedua-duanya adalah aset kerajaan dan penggunaanya mestilah berkaitan dengan kerajaan.

Berita Harian Online hari ini melaporkan, Dr. Wan Azizah bersama suaminya, Anwar tiba di Lapangan terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kota Bharu untuk menghadiri majlis meneri menghadap bonda Yang di-Pertuan Agong, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid yang diadakan secara tertutup di Istana Mahmota, Kubang Kerian, malam tadi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Permatang Pauh, yang juga anak sulung Dr Wan Azizah, Nurul Izzah mengesahkan kunjungan ke Istana Kelantan malam tadi oleh ibu, bapa dan dia dan adiknya adalah jemputan rasmi untuk mereka sekeluarga.

“Itu merupakan jemputan rasmi istana yang menjemput Wan Azizah sekeluarga.

“Sikap pimpinan lama (Barisan Nasional) tidak akan berulang, menggunakan jet untuk bercuti dan keperluan peribadi,” jelasnya di akaun Twitter hari ini. – MalaysiaGazette