Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa tidak membuang pegawai dan staf kerajaan ‘lantikan politik’, rayu Datuk Seri Zahid Hamidi.

Pemangku Presiden UMNO itu berkata, kebanyakan kakitangan tersebut bergaji sederhana dan rendah malah dakwaan mengatakan mereka adalah kroni kerajaan dan menteri tertentu sama sekali tidak benar.

“Untuk makluman, perlu saya jelaskan bahawa sebahagian besar daripada pegawai dan kakitangan ini bergaji sederhana dan rendah, ada antaranya yang menerima gaji mengikut Gred 17,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid berkata, UMNO melihat perkembangan itu sebagai sesuatu yang tidak sihat dan tidak seharusnya berlaku.

“Jangan jadikan mereka sebagai sasaran mainan dan agenda politik. Mereka adalah rakyat yang memerlukan pembelaan dan mereka juga adalah pengundi kita.

“Fikirkanlah soal kebajikan anak isteri mereka selepas ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Kerajaan PH mengumumkan akan menamatkan kontrak perkhidmatan 17,000 kakitangan lantikan politik kerajaan sebelum ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid melihat pengumuman tersebut sebagai bukti agenda DAP untuk mengurangkan penjawat awam adalah benar.

“Saya yakin, rakyat tidak akan lupa bahawa hasrat parti DAP dari dulu lagi ialah untuk mengurangkan beratus ribu penjawat awam.

“Tidak mustahil bahawa ribuan penjawat awam ini hanya merupakan titik permulaan kepada pelaksanaan agenda Dap itu,” jelasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast